Pelaksanan Wawasan 2020 terbahagi kepada tiga fasa utama. Dasar dan strategi bagi fasa pertama Wawasan 2020 digariskan di dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua, 1991-2000 (RRJP2) iaitu Dasar Pembangunan Nasional (DPN).DPN mengandungi beberapa perubahan dasaryang memberi dimensi baru kepada usaha pembangunan dalam menghasilkan pembangunan yang lebih seimbang di samping mengekalkan prinsip asas Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Fasa Kedua Wawasan 2020 dilaksanakan di bawah Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) iaitu Dasar Wawasan Negara (DWN) yang merangkumi tempoh 2001-2010. DWN bertujuan untuk memperkukuhkan daya saing dan daya tahan serta mewujudkan masyarakat yang sasksama bagi memastikan kestabilan dan perpaduan negara. Dimensi baru yang diperkenalkan termasuk:
Membangunkan Malaysia sebagai masyarakat berasaskan pengetahuan
Menjana pertumbuhan berdasarkan sumber dan kekuatan tempatan
Menjadikan sector pertanian, pembuatan dan perrkhidmatan lebih dinamik
Membasmi kemiskinan dalam kalangan kelompok kecil miskin di kawasan bandar dan pedalaman serta meningkatkan kualiti hidup kumpulan berpendapatan 30 peratus terendah
Mencapai penyertaan Bumiputra yang berkesan serta pemilikan ekuiti sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2010
Pelaksanaan fasa kedua Wawasan 2020 menghadapi cabaran berikutan momentum pertumbuhan ekonomi yang perlahan selepas Krisis Kewangan Asia 1997/98 ditambah lagi dengan Krisis Kewangan Dunia pada tahun 2008/09. Keadaan ini menyebabkan negara berada dalam perangkap pendapatan pertengahan dan mungkin tidak dapat mencapai objektif menjadi negara maju menjelang 2020. Fasa ketiga Wawasan 2020 dilaksanakan di bawah Model Baru Ekonomi (MBE) yang dilancarkan pada tahun 2010 merangkumi tempoh masa 2011 hingga 2020. MBE akan menjadi pemangkin dalam menjana potensi pertumbuhan negara. Matlamat utama MBE ialah meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan menekankan kepada tiga dimensi iaitu pendapatan yang tinggi, kemampanan dan keterangkuman yang menekankan golongan berpendapatan 40 peratus terendah. MBE merangkumi empat tonggak transformasi negara di bawah gagasan “1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan” iaituProgram Transformasi Kerajaan; Program Transformasi Ekonomi, Program Transformasi Politik dan Program Transformasi Luar Bandar. Pelaksanaan strategi MBE diperincikan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Rancangan Malaysia Kesebelas.
No comments:
Post a Comment